Sunday, July 25, 2010

cerita yg menyedih kan....

Difitnah keluarga sendiri

soalan

SAYA pelajar universiti berusia 22 tahun dan anak kedua daripada lima beradik yang semuanya perempuan. Kami diajar oleh emak dan ayah ajaran agama yang sempurna. Kami dilarang berkawan bebas dengan lelaki dan saya bersyukur mempunyai keluarga begini.

Disebabkan pencapaian saya dalam pelajaran lebih baik, emak dan ayah selalu mengharapkan saya menjadi contoh serta melebihkan saya daripada adik-beradik lain. Ini menimbulkan cemburu di hati mereka, terutama kakak. Sejak kecil lagi hubungan saya dan kakak renggang.

Dulu ayah pernah paksa kakak tinggal di asrama, sebaliknya ayah benarkan saya kekal di sekolah biasa walaupun dapat tawaran ke sekolah berasrama penuh. Hati kakak hancur dan pelajarannya merosot.

Dia mula berkawan dengan lelaki dan menghabiskan duit menelefon kawan. Sikapnya yang inginkan kebebasan merungisngkan emak dan ayah.

Dia selalu melawan ayah dan ketika berumur 21 tahun dia melarikan diri bersama kekasih berumur 19 tahun. Ayah beralah dan benarkan kakak berkahwin walaupun suami kakak tak mampu. Semua perbelanjaan ayah tanggung.

Alhamdulillah, perkahwinan mereka kekal hingga kini dan dikurniakan seorang anak. Walaupun abang ipar tidak berkerja, dia baik dengan keluarga kami dan selalu menolong. Cuma mereka suami isteri terlalu bergantung kepada ayah sampai kereta dan rumah pun ayah yang bagi.
Sikap adik saya juga sama. Ketika berumur 14 tahun, adik saya sudah ada kekasih dan menyebabkan bil telefon melambung tinggi. Kakak tahu hal ini tapi dia biarkan saja.

Dua lagi adik saya kembar berusia 17 tahun. Mereka juga suka melawan cakap emak dan ayah. Pakaian pun semakin pendek dan ketat. Kakak menjadi idola mereka kerana dia lebih 'up to date' berbanding saya yang tak pandai bersolek dan selalu pakai jubah atau baju kurung. Boleh dikatakan setiap hari adik bergaduh dengan emak dan mereka juga bencikan saya.

Kepulangan saya setiap kali bercuti selalu disambut dengan kutukan. Pencapaian akademik mereka semakin merosot. Emak dan ayah selalu bandingkan mereka dengan saya. Jadi, semakin bertambah benci mereka terhadap saya.

Bila saya dapat tawaran masuk universiti, kakak menghasut emak supaya jangan bagi kebenaran sampai emak terpengaruh. Alasannya, takut saya jadi jahat dan jadi bahan video lucah.

Kakak juga selalu mengejek saya pelakon video lucah budak universiti dan memfitnah saya gagal dalam pelajaran disebabkan bergaul bebas. Adik yang lain tak menyokong saya, malah memburukkan lagi keadaan.

Dang Setia, saya sangat menjaga kehormatan diri. Selama ini kakak sentiasa mencari salah saya sampailah saya benar-benar buat salah. Saya berkawan dengan seorang lelaki sejak dua tahun lalu. Umurnya 34 tahun dan hanya bekerja sebagai tukang rumah.

Selepas berkenalan ketika dia bekerja di kolej tempat saya tinggal, selama dua tahun kami hanya saling menelefon dan menghantar SMS tapi tak pernah keluar bersama. Hubungan kami juga saya sembunyikan daripada keluarga.

Sebelum cuti semester baru-baru ini dia pujuk saya untuk berjumpa keluarganya. Biarpun serba salah, saya mengikut ajakannya. Setiba di rumah keluarganya, ibunya melayan saya dengan baik dan mengajak saya tidur di rumah mereka.

Saya ikut saja dan akhirnya saya menetap di rumahnya hampir sebulan. Setiap hari teman lelaki hantar dan ambil saya balik dari kuliah. Hari minggu kakaknya bawa saya membeli barang di selatan Thailand dan saya rasa senang dengan ahli keluarganya.

Namun, kakak saya dapat tahu hal ini selepas mencuri baca SMS saya. Dia fitnah saya bersekedudukan dengan teman lelaki. Dia tuduh saya berzina. Emak dan ayah percaya cakapnya. Mereka tak percaya penjelasan saya.

Kakak terjumpa pas sempadan saya masuk ke Thailand dan bagi tahu pada emak ayah yang saya pergi menjual diri di sana. Emak dan ayah menangis serta melutut di depan saya. Dia orang anggap saya tidak suci lagi dan minta tidak berhubung lagi dengan teman lelaki.

Ayah juga tidak benarkan saya menyambung pelajaran. Walaupun saya menunjukkan pengesahan doktor yang saya masih suci, mereka masih tak percaya. Saya gagal menghubungi kekasih saya dan sedih bila dapat tahu dia kemalangan ketika mencari rumah saya.

Sekarang, saya bagai tiada sesiapa lagi dalam hidup ini. Saya hampir jadi gila dan hanya mampu berserah pada Allah. Saya cadang nak melarikan diri tapi emak dan ayah sudah pesan jika saya lari, mereka tak akan mengaku saya anak. Saya dah tak mampu bertahan.

PUTRIBULAN

Jawapan

Saudari mengatakan hanya mampu berserah pada Allah. Jadi, kotakan apa yang saudari katakan. Berserah pada Allah turut membawa maksud patuh dan akur kepada suruhan-Nya.

Ingkar arahan ibu bapa bermakna kita ingkar perintah Allah. Sehubungan itu, jangan sekali-kali lari dari rumah kerana ia bukan jalan penyelesaian masalah saudari, tapi hanya akan menimbulkan lebih banyak masalah lain.

Apabila berserah pada Allah, kita juga perlu yakin bahawa di penghujungnya kelak pasti ada kebaikan untuk kita. Jika pun tidak di dunia, insya-Allah kebaikan itu bakal kita nikmati di akhirat. Lagipun, saudari di pihak benar. Percayalah kebenaran pasti akan mengatasi kebatilan.

Berserah pada Allah juga bukan bermaksud kita hanya berdoa pada Allah tanpa usaha untuk memperbaiki keadaan. Sebaliknya, konsep lebih tepat ialah bertawakal iaitu berusaha terlebih dulu sebelum diiringi dengan memohon doa kepada Allah.

Oleh itu jangan terlalu mengikut perasaan. Tidak salah untuk berasa sedih dan kecewa dengan nasib yang menimpa saudari. Lumrah manusia untuk berperasaan sedemikian apabila terpaksa berpisah dengan kekasih, difitnah kakak sendiri dan ibu bapa mempercayai fitnah itu.

Bagaimanapun, pastikan perasaan sedih itu ada batasnya. Sebagai umat Islam, jangan lupa kita diajar supaya pasrah untuk menerima segala ketentuan Allah, sama ada baik atau buruk dan kita juga wajib yakin bahawa pasti ada hikmah tersembunyi.

Antara kekasih dengan ibu bapa, Islam mengajar kita supaya memberi keutamaan kepada ibu bapa. Jadi, ikutlah arahan Allah, insya-Allah kita tidak akan rugi.

Nasihat Dang Setia, buat masa ini lupakan sementara soal kekasih dan tumpukan kepada usaha untuk mengembalikan keyakinan ibu bapa kepada saudari.

Saudari perlu terima hakikat bahawa saudari melakukan kesalahan apabila tinggal di rumah keluarga kekasih saudari hampir sebulan.

Biarpun saudari tidak bersekedudukan dengan teman lelaki, yang pasti saudari bersalah kerana tidak memaklumkan tindakan itu kepada ibu bapa dan ia juga tidak digalakkan oleh Islam kerana boleh mengundang maksiat.

Jadi, mohon kemaafan daripada ibu bapa di atas kesalahan itu. Untuk mengembalikan kepercayaan mereka, saudari kena beralah dan jangan menentang atau bersikap memusuhi mereka. Banyakkan solat hajat dan berdoa kepada Allah supaya melembutkan hati ibu bapa.

Pada masa sama, secara berhemah dan sebaik mungkin rayu kepada ibu bapa supaya membenarkan saudari menyambung semula pengajian. Katakan kepada mereka, sungguh sia-sia segala susah payah serta segala perbelanjaan yang dilaburkan selama ini jika pengajian saudari terhenti begitu saja.

Untuk lebih meyakinkan mereka, saudari perlu jujur pada diri sendiri dengan berjanji akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran dan tidak berjumpa kekasih.

Mengenai kekasih saudari pula, urusan berkaitan dengannya hanya saudari lakukan selepas tamat pengajian.

Selain itu, ada baiknya juga jika saudari meminta kerjasama atau bantuan datuk, nenek, ayah atau ibu saudara dalam usaha memujuk ibu bapa. Mungkin pengaruh dan rasa hormat ibu bapa terhadap individu itu mampu mengubah pendirian mereka terhadap saudari, insya-Allah.

No comments:

Post a Comment